Manusia tanpa Negara

Pagi Jumaat 6 November 2009 aku dipelawa Saudara Khairil menemaninya untuk ke satu tempat di Pinggir Bandaraya Kuala Lumpur untuk bersamanya menyaksikan sendiri satu kehidupan yang amat berbeza dengan yang lazimnya kita lihat di Kuala Lumpur. Kehidupan satu golongan manusia yang tidak punya Negara! Kaum Rohingya

Kaum Rohingya menjadi pelarian di Negara-negara seperti Bangladesh, Thailand dan Malaysia lantaran negara mereka, Myanmar sendiri tidak mengiktiraf mereka sebagai warganegaranya! Malah mereka dihalau dan disakiti oleh pemerintah di sana. Jadilah mereka satu bangsa yang tidak punya Negara dan masyarakat antarabangsa juga tidak memperdulikan mereka. Mereka sering menjadi "komoditi" yang diperdagangkan merentasi sempadan negara. Seringkali mereka terkorban dalam tragedi bot karam, lemas di dalam kontena, dsb takala dalam proses penyeludupan manusia oleh sendiket-sendiket antarabangsa yang kejam.

Di Kuala Lumpur mereka hidup merempat. Walaupun mempunyai pengiktirafan bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) namun kehadiran mereka di sini tidak mendapat perhatian. Kerana statusnya sebagai pelarian, mereka gagal mendapat pekerjaan. Kerana kesempitan hidup mereka terpaksa membuat apa sahaja bentuk pekerjaan untuk meneruskan hidup, secara berselindung. Tidak kurang juga mereka dimanupulasi oleh sendiket gelap untuk meminta sedekah, membuat kerja-kerja haram, malah melakukan jenayah!.

Mereka hidup menyewa bersesak-sesak di rumah kedai empat tingkat yang dibahagikan oleh papan lapis usang menjadi bilik-bilik sempit. Kedaifan kehidupan mereka membuatkan sesiapa juga yang melihat akan mengalirkan air mata.

Saya juga berpeluang mengunjungi satu kumpulan anak-anak Rohingya berumur antara tujuh hingga 13 tahun yang sedang khusyuk belajar di satu tempat yang diusahakan oleh Khairil dan rakan-rakannya. Anak-anak kecil ini dinafikan hak mereka untuk mendapat pelajaran formal di sekolah lantaran status ibu bapa mereka sebagai pelarian politik. Amat memilukan apabila anak-anak ini berebut untuk bersalaman dengan Khairil dan saya sewaktu kami menjengah di pintu, mengambarkan betapa amat terhad bilangan orang tempatan yang sudi menjengah mereka yang daif itu. Di raut wajah mereka tergambar seribu satu kepayahan hidup yang terpaksa di tempuhi dalam usia yang masih hijau itu.

Betapa sayu hati memikirkan betapa malangnya nasib anak-anak kecil Rohingya ini berbanding rakan-rakan sebaya mereka yang lebih bernasib baik. Sewaktu anak-anak kita berkira-kira betapa seronoknya menunggu bila sekolah bercuti, anak-anak Rohingya ini berlumba-lumba hendak ke "kelas" walau tidak punya uniform, walau tidak punya bilik darjah indah, walau tiada bangunan yang boleh dipanggil sekolah, walau terpaksa berkongsi buku, alat tulis dan kelengkapan lainnya.

Sesiapa sahaja yang mengungjungi mereka pasti akan tersentuh hati meyaksikan keadaan malang yang menimpa satu bangsa yang menjadi mangsa diskriminasi sesama manusia. Sedangkan binatang kita kutip dari jalanan dan ditempatkan di tempat sewajarnya, sebaliknya mengapakah golongan manusia malang ini kita tidak memandang walau dengan sebelah mata?  Malah jika kita masih ingat, pernah seorang Rakyat kita diheret ke mahkamah dan dijatuhi hukuman kerana "mendera" binatang! Tapi bila berdepan dengan isu kaum Rohingya, tiada siapa peduli!

Muktahir ini juga kita saban hari terdengar laungan kesama-rataan dan hak-asasi kemanusian, tetapi bila tiba isu melibatkan Rohingya, semua memejamkan mata, seolah-olah mereka ini terkecuali dari golongan "manusia". Atau apakah hak asasi itu hanya untuk kepentingan diri dan kelompok tertentu sahaja, dan ianya ditentukan mengikut selera dan kepentingan masing-masing! Hipokrit kah kita. Kenapa takut untuk mengakuinya?

Comments

indica said…
Sedih bila bayangkan nasib manusia tanpa negara ni..kita yg ada negara masih mcm2 tak puas hati dan seakan tidak menghargai..
McBudu said…
Indica: Kalau ada masa boleh ikut aku....

Popular posts from this blog

Papan tanda dan maksudnya

Datuk Leslie Davidson, a Planter Extraordinaire

Corduroy ku