Memoir buat Ayah

Hari bapa bakal mendatang. Tidaklah sehebat hari ibu. Malah sebelum ini aku tidak pernah tahu akan wujudnya hari bapa! Sejak dilahirkan hinggalah bapa aku meninggal, aku tidak pernah tahu akan wujudnya hari bapa, apatah lagi merayakannya bersama ayahku! Mungkin aku dibesarkan di kampung, semua itu bukan perkara yang harus aku tahu. Kini bapaku telah tiada dan aku sendiri pula telah bergelar bapa kepada 4 orang anak-anakku.

Bapaku yang aku panggil ayah bukanlah seorang yang masyur, bukan jutawan, bukan hartawan, bukan negarawan dan tentunya bukan juga seorang selebriti terkenal. Namun bagiku dialah manusia hebat yang mencorakkan kehidupanku sekarang. Ayah yang aku ingat amat berdisiplin dalam kehidupannya. Dia tidak berpelajaran tinggi, namun berfikiran jauh melangkaui zamannya.

Sepanjang yang aku ingat, zaman sihatnya ayah tidak pernah lewat bangun tidurnya. Rutin paginya bermula seawal jam 5 pagi setiap hari. Takwimnya tiada cuti hujung minggu atau cuti umum. Dia mandi jam 5 pagi, bersolat subuh dan kemudian melumuri kaki dan tangannya dengan minyak kelapa untuk menghalang gigitan pacat dan serangga lantas meninggalkan rumah sebaik sahaja balam-balam tanah mula kelihatan. Tiada sarapan, hanya bekal dari emak dan parang sebilah menjadi temannya. Jangan cari ayah di rumah selagi matahari belum terbenam. Makannya, mandinya dan solatnya semua dilakukan di kebun tempatnya membanting tulang.

Kedai kopi tidak pernah tersenarai dalam jadual hariannya. Kopi atau teh di kedai tidak pernah menjadi sebahagian dari menunya. Ketidak hadirannya di kedai kopi menjadikan ayah kurang popular di kalangan pengunjung tegar kedai kopi. Walau dia maklum, namun ayah tidak pernah ambil pusing tentang status itu!.

Ayah (dan juga emak) datang dari keluarga miskin. Tiada harta yang diwarisi selain sekeping tanah yang sekangkang kera. Ayah pernah berkhidmat dengan Kerajaan, tapi berundur kerana visinya dalam kehidupan yang amat jauh, tapi jelas. Dia memohon tanah hutan dari Kerajaan dan membangunkannya dengan tanaman pertanian menggunakan tulang empat keratnya dengan bantuan emak. Dia menebang hutan rimba dengan kapak dan gergajinya yang diasahnya sendiri, tiada mesin, tiada jentera. Kayu-kayu hutan yang baik dan bermutu dimanfaatkannya untuk membuat pagar, pondok dan bangsal serta membaiki rumah kami yang usang. Ayah menanam berbagai jenis tanaman komersial seperti getah, buah-buahan, padi dan sayur-sayuran dengan jerih peluh dan kepakarannya sendiri, tanpa menghirau hujan atau panas, tanpa mengira penat lelah, tanpa mengira sakit atau demam.

Pernah dihempap pokok, pernah cedera dikelar parang, pernah luka ditarah cangkul, pernah patah tangan tergelincir di bendang, pernah jatuh dari pokok dan pernah dikejar binatang buas. Ayah tidak pernah menyerah kalah, tak pernah keluh kesah. Ayah juga bersemangat patriotik dengan menjadi ahli 'Home Guard' menentang komunis dan mendapat pengiktirafan DYMM Sultan Pahang.

Hasil usaha ayah bersama emak, kami sekeluarga tidak pernah membeli beras di kedai. Ayah menjadikan keluarganya 'self-sufficient', Kami sekeluarga tidak pernah kekurangan beras, malah berlebihan. Kami tidak pernah tidur dalam keadaan lapar. Ayah memastikan keluarganya sentiasa ada nasi untuk dijamah pada setiap ketika, anak-anaknya dapat menikmati rasa lazat buah-buahan pada musimnya dan belanja keperluan dapur ada sentiasa hasil dari torehan getahnya, walaupun sedikit.

Satu lagi sifat ayah ialah dia langsung tidak mempercayai perkara-perkara tahyul. Apabila dia sakit atau kurang sihat, ayah tidak pernah mendapatkan bantuan bomoh atau pawang, walaupun ketika itu pawang dan bomoh amat dihormati masyarakat setempat. Fail kesihatannya di klinik Kerajaan amat tebal sehingga hampir satu kaki ketebalannya semasa dia meninggal dunia. Kesemua kakitangan klinik berkenaan kenal baik dengan ayah. Sehinggakan sewaktu dia terlalu uzur di hujung-hujung usianya, kakitangan klinik berkenaan sanggup datang ke rumah untuk merawat ayah walau jaraknya hampir 6 km.

Sewaktu usia tuanya ayah semakin kurang bertenaga dan sering uzur, tidak lagi mampu memerah keringat, namun setiap kali berpeluang dia akan bertanya akan hasil tanamanya yang kesemuanya sudah membuahkan hasil. Aku dan adik-beradik yang lain amat berbangga dan bersyukur mendapat seorang ayah yang hayatnya sentiasa berusaha dan berkorban membangunkan tanah pertanian hanya untuk dinikmati anak cucunya.

Aku tahu, aku banyak menyusahkan ayah semasa hayatnya. Aku pernah bermain minyak tanah dengan memasukkannya ke dalam botol ubat batuk. Ayah yang kebetulan batuk ketika itu tanpa usul periksa meminumnya. Dan berkemungkinan ayah mendapat sakit lelahnya selepas kejadian itu! Kerana sebelum itu ayah tidak pernah ada penyakit lelah.

Yang paling aku tidak lupa ialah semasa aku di darjah 5. Aku beriya-iya benar meminta sebuah basikal, walaupun aku tahu ayah tidak punya banyak wang. Namun kerana aku begitu mendesak, ayah belikan juga dengan menjual binatang-binatang ternakan dan hasil-hasil tanaman. Aku memiliki basikal pertamaku, sebagaimana kanak-kanak sebayaku ketika itu, tapi peristiwa kedegilanku itu membuahkan satu kekesalan yang amat mendalam kepada diriku hingga ke hari ini.

Sewaktu ayah dipenghujung hayatnya, dia kelihatan amat uzur. Hampir seminggu dia tidak mampu bangun dengan sendiri. Sewaktu nazaknya, aku bersama adik-beradik dan beberapa orang lagi membacakan surah Yassin di sisinya. Ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan tenang di sisiku dan adik-beradik yang lain. Aku turut memandi, meyembahyangkan dan memangku jenazah arwah ayah di liang lahat sambil menahan sebak yang tidak terkira. Setelah emak pergi, aku kehilangan pula seorang wira hebat yang tidak pernah mengenal erti penat lelah berkorban untuk keluarganya. Pasti aku tidak akan menemui pengantinya.

Setelah 12 tahun ayah pergi, namun segala pengalamanku bersama ayah bagaikan baharu semalam berlalu.

Ayah, walaupun aku tidak pernah berkesempatan mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada mu, namun hari-hari yang aku lalui bersamamu tidak mungkin aku lupakan hingga akhir hayatku.

Semoga roh ayah ditempatkan bersama kekasih-kekasih Allah.

Al fatihah.

Comments

5er_dragon said…
yeahhh..
aki mmg hebat!
angah pnye keluarga smue hebat2!
semoga aki ditempatkan bersama org2 yg beriman.
Pak Yob said…
sodih plak cite ko ni..tapi chapter minum minyak tanah tu yang paling terkesan....aku rasa baik ko hantar skrip cite ko kat petronas..kot-kot boleh jadi iklan tahun depan ke.
McBudu said…
5er_dragon: You are one good grandchild too!

Pak Yob: Iklan? ha ha ha...iklan minyak kelapa dara boleh kot!
indica said…
Dengar lagu sudirman sambil baca memoir ni...terharu dan sebak pulak aku..
Beruntunglah sesiapa yg masih memiliki ayah..kalian tahu apa yg kalian harus lakukan.

Sempena Hari Bapa dengarkan Titip Rindu Buat Ayah. touching weh..!
linda aka konda said…
al-fatihah..
yea..saiye juge rindu aki..
huhu..
takkan bole lupe, setiap petang hidangan rutin ialah air susu panas dan biskut..
still teringat, dia bersiap untuk gi klinik..
huhu..
semoga rohnya di cucuri rahmat Allah..amin..

p/s:btw, bab minum minyak gas tuh..haha..itulah persamaan saiye dan aki..hehe2:)
McBudu said…
Indica : Aku faham perasaan ko sejak aku mula kenal ko di Arau lagi....

Konda: Nia ingat Aki tang Biskut Merinya!. Minyak gas, sapa boleh lupa kan!
McBudu said…
Cikgu: Terimakasih atas kesudian bertandang. Semoga sejahtera selalu.
pB said…
Aaaalaaahaiiiii



sadis lar pulak n3 nie ....


nakal jugak Bro ni nyer masa muda muda


tak sangka tullll
McBudu said…
OS: Alfatihah untuk semua ayah2 yg telah pergi juga....

pB: Kecil2 nakal tak per...jgn bila dah besar baru nak nakal... he he, selamat hari bapa.
McBudu said…
epit: Terimakasih sudi bertandang.
lkc_lai said…
Sad to heard your father story but I proud you have a great and hardworking father.

Al fatihah.

Popular posts from this blog

Papan tanda dan maksudnya

Datuk Leslie Davidson, a Planter Extraordinaire

Corduroy ku