Ekonomi yang menakutkan

Tajuk ini mungkin paling membosankan, namun ianya amat penting untuk memahami di manakah kita akan berada jika keruntuhan sistem ekonomi ini berlaku dan semestinya merupakan survival kita rakyat Malaysia.

Negara kita pernah mengalami kegawatan ekonomi sebelum ini, dan jarak antara satu kegawatan dengan yang lain hampir sepuluh tahun. Kegawatan memang realitinya patut berlaku untuk meremajakan ekonomi sesebuah negara, tetapi setiap kegawatan akan diiringi oleh satu kepahitan yang harus ditelan oleh hampir setiap lapisan masyarakat.

Kegawatan ekonomi kali ini bukanlah sesuatu yang biasa. Ianya melanda seluruh dunia dan merupakan paling buruk pernah berlaku, lebih buruk daripada kegawatan zaman
"The Great Depression".

Kegawatan kali ini bermula di Amerika Syarikat, negara ekonomi terbesar dunia, negara yang mempunyai pakar-pakar ekonomi terbanyak serta negara yang bermegah dengan sistem kewangan liberalnya. Bank-bank besar dan ternama runtuh satu persatu dan sudah tidak dipercayai lagi oleh rakyatnya. Syarikat-syarikat insuran gergasi rebah menyembah bumi. Syarikat pengeluar kereta ternama berlutut menagih simpati kerajaan. Kerajaannya pula berterusan menyuntik dana rangsangan dalam bentuk 'trillion' US Dollar yang dicetak tanpa henti, tanpa jaminan emas atau suasa!. Semua dana yang disuntik ke dalam sistem kewangannya lenyap bak menitis nila di lautan luas.

Padah dari keruntuhan sistem kewangan di AS ini dengan pantas merebak dan merobek semua ekonomi dunia, tiada yang terkecuali. Di UK, kemelesetan telah bermula. Beratus ribu rakyatnya hilang pekerjaan.
Beribu kedai dan premis perniagaan gulung tikar. Di Jerman, kelesetan juga telah bermula. Beratus ribu pekerja dibuang kerja. Pengimpotan jadi terhad dan ekonominya mula tumbuh pada kadar negatif. Negara-negara jiran yang dulunya kaya raya dan mewah juga kerugian berbilion Dollar. Demikian juga keadaannya di seluruh Eropah, Asia, Afrika, Australia dan semestinya Amerika.


Di Malaysia, banyak syarikat telah mula memberhentikan pekerja, memberi cuti tanpa gaji, bekerja seminggu 4 atau 3 hari, menolak gaji 25% dan tidak kurang juga yang telah gulung tikar.

Kalau dibandingkan dengan negara jiran, kita masih bernasib baik kerana masih ramai yang punyai pekerjaan dan belum begitu sukar mencari pendapatan, namun keadaan ini berkemungkinan besar akan berubah menjadi buruk dalam masa sebulan dua ini. Ambil segala langkah yang boleh menjimatkan belanja. Atur segala perbelanjaan. Hadkan pembaziran, walaupun ekonomi itu perlu dirangsang dengan berbelanja, berbelanjalah dengan berhemah. Keadaan ini sudah tentu akan pulih, tapi jangkamasanya tiada siapa yang tahu.

Dalam apapun keadaan bersedialah dan bersabar serta carilah jalan terbaik untuk mengatasi musibah yang besar dan mengerunkan ini. Tiada orang lain yang dapat membantu kita bila kegawatan ini melanda kerana waktu itu orang lain juga akan turut sama terlibat. Berdoalah agar Negara kita tidak teruk terjejas dan keluar dari kemelut ini dengan segera. Hindarkanlah persengketaan sesama sendiri kerana ianya hanya akan memburukkan keadaan. Dan carilah hikmah di sebalik semua kejadian. Teruskan berdoa.


Comments

Popular posts from this blog

Papan tanda dan maksudnya

Datuk Leslie Davidson, a Planter Extraordinaire

Corduroy ku