Selamat Hari raya

Setiap tahun semakin umur meningkat, semakin aku rasakan yang Hari raya sudah tidak semeriah dahulu. Kini Hari Rayaku lebih kepada memenuhi keperluan isteri dan anak-anak. Baju, kasut dan keperluan anak-anak dan isteri telahpun dibeli tapi bagi diri aku sendiri tiada apa-apa persediaan. Mungkin baju Melayu tahun lepas masih elok untuk dipakai dipagi Raya.
.
Aku makin tidak seteruja dahulu untuk beraya. Mungkin faktor umur, mungkin juga dulu aku amat menanti saat-saat balik kampung untuk bertemu ayah dan ibu, tapi apabila mereka telah tiada lagi untuk menyambut kepulanganku, aku rasa kemanisan balik kampung itu sudah tiada.
.
Aku amat merindui zaman kanak-kanakku berhari raya bersama ayah dan ibu tersayang. Walaupun mereka tidak pernah menghulurkan sampul berisi wang dipagi raya, tidak pernah memberi upah atas puasaku semasa kecil, tidak pernah menyajikan hidangan istimewa pelbagai rasa di pagi raya, tiada juga perabut baru, langsir baru dan hamparan baru, namun Hari raya bagiku pada waktu itu amat bermakna dan sukar dilupakan.
.
Walaupun ayah dan ibu tidak pernah aku lihat memakai pakaian baharu di pagi raya, namun mereka akan berusaha juga untuk membeli sepasang baju dan kasut baharu untuk aku pakai di pagi Raya. Walaupun mereka dihimpit kesusahan, namun mereka akan sedaya upaya cuba untuk menggembirakan anak-anak mereka di Hari Raya. Bagi aku, walaupun hanya mempunyai sepasang baju baharu, namun aku amat gembira dan berbangga kerana amat jarang aku berpeluang memakai baju baharu, selain pada hari raya.
.
Walaupun tiada hidangan istimewa, aku amat teruja menanti lemang dan dodol yang ibu buat khas untuk Hari Raya. Bagiku itulah hidangan Hari Raya yang paling istimewa pernah aku rasakan sepanjang hayatku!
.
Kini ibu dan ayah sudah lama meninggalkan aku. Yang tinggal hanyalah pusara dan kenangan yang tak mungkin aku lupakan. Bagi mereka yang masih mempunyai ayah dan ibu, pulanglah, ciumlah tangan mereka, peluklah mereka, gembirakanlah mereka dan rayakanlah Hari Raya ini bersama mereka. Tiada alasan yang lebih penting daripada menemui ibu dan bapa di hari yang syahdu ini. Pulanglah dan percayalah tiada Hari Raya yang lebih berkat dan bermakna selain dari berhari raya bersama mereka.
.
Sempena Idilfitri yang mulia ini Warga Semalu mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua. Maaf Zahir dan Batin.
.

Comments

Pak Yob said…
selamat hari raya....memang betul tu bro..persiapan raya hanya untuk isteri dan anak-anak...tapi yang isteri dah beli baju raya empat untuk hang tu amende? he..he..
McBudu said…
Pak Yob: Eh isteri yang mana satu nih.... he he

Selamat Hari Raya untuk Pak Yob dan keluarga, maaf Zahir Batin.
HappyIrfa said…
salam..
slmt hari raya.saya akan pulang beraya bersama ayah dan ma di kampung.ye betul..selagi mereka masih ada
indica said…
Selamat Hari Raya Aidilfitri Kepada McBudu sekeluarga.
Maaf Zahir Batin.
McBudu said…
HappyIrfa & Indica: Selamat Hari raya Maaf Zahir Batin

Popular posts from this blog

Papan tanda dan maksudnya

Datuk Leslie Davidson, a Planter Extraordinaire

Corduroy ku