Hari ini, 14 tahun dahulu...

Hari itu Jumaat, 1 April 1994, ibuku yang telah seminggu terlantar sakit semakin tenat. Aku yang telah seminggu berada di sisinya dapat merasakan suatu kelainan pada dirinya pada pagi hari itu. Aku dapat rasakan betapa ibuku berada dalam kesakitan yang amat sangat. Sewaktu hari makin menghampiri tengah hari, ibuku semakin nazak. Aku berada di sisinya, tidak berganjak, memegang tangannya sambil tidak putus-putus membisikkan kalimah syahadah ke telinganya. Aku kawal perasaan piluku. Aku lawan kesedihan itu, namun air jernih mengalir tidak tertahan dari kedua kelopak mataku saban waktu. Suaraku serak, menahan sebak, namun kuteruskan membisik kalimah syahadah ke telinganya.

Semakin menghampiri tengah hari, keadaan ibu semakin tenat. Ramai yang membaca surah Yasin, dan aku berterusan membisikkan kalimah syahadah ke telinga ibu tersayang.

Sakit ibu seolah tidak tertanggung lagi olehnya, sesekali aku berdoa kepada Allah "jika kematian itu lebih baik untuk ibu, aku redhakan pemergiannya", lantaran tidak tertahan melihat ibu begitu menderita.

Sebaik sahaja azan solat Jumaat selesai, ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisiku dan adik-beradik yang lain. Aku tersentak, termanggu dan terasa satu kehilangan yang amat mendalam dalam hidupku ketika itu. Ibu yang sebelum ini sentiasa berada di sisi sewaktu keresahan, kesedihan dan kesempitan, kini tiada lagi. Betapa kehilangan itu amat terasa hingga ke hari ini dan pasti hari-hari mendatang. Jauh di sudut hati, aku rasakan bahawa aku masih tidak cukup berbakti kepada ibu semasa hayatnya.

Hari ini, setelah 14 tahun berlalu, masih segar diingatanku saat-saat ibu kembali mengadap Ilahi. Seumpama baharu semalam ianya berlaku. Setiap kali aku terkenang, pasti air mataku tergenang, dan rasa kekosongan dan kehilangan terus menyapa, meskipun ianya telah lama berlalu. Setiap kali aku panjatkan doa buatnya, pasti dadaku sebak dan hatiku amat sayu dan pilu.

Walaupun aku dilahirkan dalam keadaan keluarga yang miskin dan serba kekurangan, namun kasih sayang yang ibu curahkan sepanjang hayatnya adalah satu sumber kekayaan yang amat
aku syukuri sehingga kini, dan kasih sayang itulah pusaka ibu yang tidak terhitung nilainya, yang akan ku perturunkan menjadi pusaka anak-anakku.

Buat teman-teman yang masih punya ibu, sayangilah dia, hormatilah dia, berbuat baiklah dan berbaktilah kepada mereka semasa hayatnya. Janganlah kita cepat terasa atau tersinggung dengan sikap ibu terhadap kita. Setiap ibu, walau apapun yang diperkatakannya, ia tidak mungkin untuk melukai hati anak-anaknya, apatah lagi untuk menyusahkan hidup anaknya. Semua yang mereka lakukan adalah untuk kebaikan anak-anaknya, walau kekadang caranya berbeza.

Bagiku, ibu sudah lama pergi, namun kenangan dan kasih sayangnya kepada ku akan berkekalan dan terus mekar hingga akhir hayat. Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas ibu serta ditempatkan dia bersama kekasih-kekasih Allah.

Al-Fatihah.

.

Comments

Purpleheart said…
Alfatihah saya sedekahkan pada arwah ibu semoga dia ditempatkan dikalangan hamba-hamba Allah yang beriman.. kasih sayang ibu tak akan boleh dilupakan begitu saja meskipun telah lama berlalu..
McBudu said…
Purpleheart: Thanx, sayangi dan jagalah hati ibu semasa dia masih ada.
indica said…
AlFatihah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Satu catatan yg begitu menyentuh naluri mana-mana seorang yg bergelar anak dan begitu menyedarkan aku yg kdg-kdg alpa dgn kesibukan dunia yg serbafana ini.

AlFatihah.
McBudu said…
Indica: sayangilah ibu sementara dia masih ada.
lkc_lai said…
Al fatihah. This is our life. When the time is come then we need to go. We can not escape from dead. Thus, I also solat that perhaps next moment I will no in this world. Get prepare ourself. Allah love your mother very much and her go peacefully with Him. Amin.
McBudu said…
Lai: Thanx pal, I really appreciate that....

Popular posts from this blog

Papan tanda dan maksudnya

Datuk Leslie Davidson, a Planter Extraordinaire

Corduroy ku