1 April Dalam Kenangan

1 April datang lagi. Masih jelas diingatanku hari Jumaat, 1 April, 13 tahun yang lalu. Sebaik tamat laungan azan Jumaat, ibuku yang amat kucintai menghembuskan nafasnya yang terakhir, pergi meninggalkan kami buat selamanya. Masih terasa bagai semalam aku membisikkan Kalimah Syahadah ke telinganya takala dia menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisiku. Mungkin kerana ibu pergi dengan wajahnya yang tersenyum, aku langsung tidak menangis ketika itu. Aku tutup mata ibu dan kucium pipi dan dahinya. Namun apabila aku tersedar yang aku sudah tidak punyai ibu lagi, airmataku tidak lagi dapat dibendung. Aku terasa kehilangan yang amat sangat. Sebagai anak bongsu, aku lebih rapat dengan ibu dan aku rasa akulah yang paling manja dengannya.

Tubuh ibu yang terkujur kaku di mandikan dan dikafankan oleh kakak-kakakku. Sekali lagi aku menjengah wajah ibu yang kelihatan sungguh tenang dan masih tersenyum. Jenazah ibu kemudian disembahyangkan dan aku turut solat bersama abang-abangku bersama-sama jemaah yang lain.

Aku kemudian turut sama mengusung jenazah ibu untuk disemadikan di pusara, satu perjalanan terakhir ibu di dunia fana ini. Semasa membaringkan jenazahnya ke liang lahat, aku memangku jasad ibu buat kali terakhir. Di sebalik sebak yang tidak tertanggung serta bacaan al Fatihah yang tidak putus aku ungkapkan, aku sempat 'berjanji' kepada ibu, "akan ku peluk lagi ibu bila berjumpanya di alam Baqa' kelak!". Ketika itu aku seolah tidak mampu menahan kaki ku daripada rebah. Aku kuatkan semangatku, menutup liang lahat sedikit demi sedikit.

Kini sudah 13 tahun ibu meninggalkan kami. Waktu itu masih ada ayah dan kami 6 beradik, namun Allah telah memanggil pulang ayah dan abangku yang sulung. Kini kami hanya tinggal 5 beradik, seorang abang dan 3 kakak.

Walaupun sudah lama meninggalkan kami, namun ibu terasa amat dekat di hati dan aku tidak tahu mengapa sejak akhir-akhir ini aku sering teringatkannya. Mungkin kerana beberapa perkara yang mengusik jiwaku kebelakangan ini, membuatkan aku terkenang betapa mulianya hati ibu. Air mataku sering bergenang bila terkenangkannya. Sesungguhnya aku amat merinduinya. Al Fatihah.



Comments

sendiri mau ingat said…
ALFATIHAH BUAT IBU MU YANG TERCINTA..MEMANG KASIH IBU TIADA PENGGANTI.
McBudu said…
SMI: Thanks, jika ibu masih ada sayangi dan berbaktilah kepadanya dgn ikhlas dan sepenuh hati.
5er_dragon said…
ayah, telah angah hadiahkan al fatihah berulang kali untuk wan. angah harap ayah akan sentiasa tabah sepanjang masa.... pegang janji ayah.... ayah, yang berlalu tak akan kembali lagi...jadi, marilah kita hadiahkan al fatihah buat wan.al fatihah.
McBudu said…
5erDragon: Yur name suits u! Thanx angah.
pB said…
AlFatihah...

Yang pergi tak akan kembali
Tapi yang ditinggalkan perlu teruskan kehidupan..

Semoga roh ibu ditempatkan dikalangan orang orang yang mendapat keuntungan dan kebahagian di akhirat nanti...

Amin...
indica said…
Begitu aku dapat rasakan apa yang kau rasa ....
Kasih sayang seorang ibu begitu suci dan tinggi nilainya. Ibu tidak pernah menyakiti anaknya. Tidak sanggup membiarkan anaknya terguris, tercalar apatah lagi terluka. Kerana ibu dan anak dari satu jasad asalnya.

p/s: Masih terbayang di ingatan kenangan bertandang ke daerah mu sewaktu ibumu masih ada. Sebagai kenkawan kpd anaknya, dapatlah kami layanan yg istimewa.
Kini kdg-kdg bila makan telur ayam separuh masak, aku teringat telur ayam kampong separuh masak yg enak yg ibumu sediakan sewaktu bersarapan di rumahmu.

Damai dan bahagialah ibu, ayah dan abangmu di sana dengan rahmatNya.

AlFatihah.
McBudu said…
indica: thanx for the memories, pal! Sayangilah ibu selagi dia masih ada...
minnie said…
Macam mana la keadaannya bila saya terpaksa menghadapinya...

Popular posts from this blog

Papan tanda dan maksudnya

Datuk Leslie Davidson, a Planter Extraordinaire

Corduroy ku