Ibu

Kisah seorang teman dan ibunya yang tidak dapat dilupakan, dipetik dari berjuta cerita di internet, namun yang satu ini menyentuh perasaan ku.
*****************************
Usia Ibu menjangkau 60 tahun, namun tubuhnya masih kuat. Dia mampu berjalan kaki ke kedai yang jauhnya lebih kurang 1 kilometer bagi membeli keperluan harian. Sejak kematian ayah 6 tahun lalu, ibu bersendirian di kampung. Lantaran itu, kami adik-beradik -5 orang semuanya-bergilir-gilir menjenguknya.
.
Kami semua sudah berkeluarga, tinggal pula jauh dari kampung halaman di Teluk Intan. Sebagai anak lelaki paling tua (walaupun bukan sulung), saya mengambil tanggungjawab yang lebih. Selain itu, kami adik-beradik sering menelefon ibu bertanya khabar dan sebagainya. Setiap kali saya menjenguknya, setiap kali itulah isteri saya mempelawa dia tinggal bersama kami di Kuala Lumpur.
.
"Tak apalah, lain kali aja...!" jawab ibu. Puas dua anak saya merayu-rayu, ibu tetap bertegas. Itu jugalah jawapan ibu kalau Kak Long mempelawanya, Kak Ngah mendesak ataupun adik-beradik saya yang lain merayunya. Bagaimanapun sesekali ibu mengalah. Namun sehari dua berada di rumah anak-anaknya, dia minta dihantar balik. Ada-ada saja alasannya.
.
Suatu hari di bulan Januari, ibu mengikut saya ke Kuala Lumpur. Kebetulan sekolah masih bercuti, seronoklah anak-anak saya bermain dan bergurau senda dengan nenek mereka. Masuk hari ketiga, dia merayu nak balik kampung. Seperti biasalah, ada-ada saja alasan tak logik yang diberikannya. "Saya sibuk mak, tak boleh nak ambil cuti. Tunggulah sikit lagi, ataupun hujung minggu ni saya hantar mak," balas saya. Anak-anak saya turut memujuk nenek mereka.
.
"Tak apalah kalau kamu sibuk sangat, belikan Mak tiket di Puduraya, biar Mak naik bas," katanya membuat saya bertambah kecewa. Memang Mak pernah berkali-kali naik bas pulang ke kampung sendirian.
.
"Tak usahlah..." kata saya memujuk dan merayu selepas makan malam itu. Mak diam terus masuk ke bilik bersama cucu-cucunya. Bagaimanapun esok paginya ketika saya bersiap untuk ke pejabat, Mak sekali lagi berpesan minta saya belikan tiket bas di Puduraya. "Mak ni, tak faham ke, saya ni sibuuuukkkk!!!" balas saya terus keluar menghidupkan enjin kereta.
.
Saya tinggalkan Mak keseorangan di muka pintu. Sedih saya tengok mukanya. Di dalam kereta, isteri saya memujuk. "Buat apa kasar sangat dengan Mak, Bang ? Cakaplah elok-elok! Kesian dia...!" Saya terus membisu.
.
Sebelum isteri saya turun kereta sebaik tiba di pejabatnya, dia berpesan agar saya penuhi permintaan Mak. "Jangan lupa bang, belikanlah tiket Mak," katanya ringkas.
.
Di pejabat saya termenung panjang. Lalu saya meminta cuti kecemasan, terus ke Puduraya membeli tiket Transnasional ke Teluk Intan.
.
Pukul 11.00 pagi saya sampai ke rumah, terus beritahu Ibu supaya bersiap. "Bas bergerak pukul 2.00," kata saya ringkas. Saya mengaku bersikap agak kasar ketika itu kerana didorong rasa marah dengan sikap degil Ibu. Ibu tanpa banyak kerenah bersiap.
.
Dia masukkan baju dan kain ke dalam beg sandang. Lebih kurang pukul 12.30 saya bergerak ke Puduraya. Dalam perjalanan lebih kurang 1 jam itu, sepatah pun saya tidak bersuara. Selalunya saya dan Ibu akan bersembang panjang setiap kali naik kereta bersama. Ada-ada saja yang kami bualkan.
.
Hari itu Ibu tahu saya marahkannya. Dia pun mungkin kerana tidak mahu memburukkan keadaan, enggan bersuara. Tiba di Puduraya, saya terus menghantar Ibu ke tingkat bawah stesyen bas. Selalunya saya akan membimbing tangan Ibu, tapi hari itu saya biarkan Ibu turun sendiri, cuma saya perhatikan agar langkahnya tidak tersasar.
.
Setelah saya pastikan nombor tempat duduk Ibu, saya bersalam dan terus turun dari bas. Ibu langsung tidak memandang saya sebaliknya memandang ke luar tingkap. Ibu merenung jauh. Tepat pukul 2.00 bas bergerak. Saya pandang Ibu tapi dia masih melemparkan pandangan ke luar tingkap mengelak daripada memandang saya. Setelah bas bergerak jauh, saya menaiki tangga menuju ke kereta. Semasa melalui gerai-gerai di hentian paling sesak itu, saya terpandang susunan kek pisang di atas meja. Langkah saya terhenti.
.
Fikiran teringatkan ibu kerana dia cukup suka makan kek itu. Pernah 2-3 kali kalau dia menaiki bas pulang ke kampung, dia akan meminta saya belikan makanan kegemarannya itu. Tapi hari itu ibu tidak minta apa-apa.
.
Saya terus memandu pulang. Malam itu sekali lagi saya meneruskan keegoan saya apabila isteri meminta saya menelefon ibu di kampung seperti yang saya sering lakukan setiap kali ibu pulang dengan bas. Malam berikutnya, isteri bertanya lagi sudahkah saya hubungi ibu. "Takkan tak sampai-sampai lagi," jawab saya meninggikan suara.
.
Dinihari itu, saya menerima panggilan telefon dari Hospital Teluk Intan. "Mak Long dah tak ada ..." kata sepupu saya di hujung talian. "Dia meninggal 5 minit tadi selepas mengadu sesak nafas Maghrib semalam." Terlalu sebak dia hendak meneruskan kata-kata, selain meminta saya pulang segera. Saya terduduk di lantai. Gagang masih di tangan. Isteri datang menerpa."Kenapa bang?" Saya hanya menggeleng-geleng, agak lama baru mampu memberitahu "Mak dah tak ada!" Airmata saya tak dapat dibendung lagi.
.
Tiba di kampung sayalah yang paling hiba sekali. Tidak berhenti-henti menangis berbanding kakak dan adik-adik saya. Barulah saya sedar betapa berharganya seorang Ibu dalam hidup ini. Kek pisang, kata-kata saya pada Ibu, sikapnya semasa saya di Puduraya, kata-kata isteri silih berganti menyerbu fikiran.
.
Hanya Tuhan yang tahu betapa luluhnya hati saya apabila teringatkan itu semua. Saya amat terasa kehilangan Ibu yang pernah menjadi tempat saya meluahkan rasa, seorang rakan yang sering bersimpati dan Ibu yang cukup mengerti perasaan seorang anak. Kenapalah saya tidak dapat membaca gerak rasa seorang tua yang merindui belaian kasih sayang daripada seorang anak yang akan ditinggalkan buat selama-lamanya.
.
Kini telah 5 tahun berlalu. Setiap kali pulang ke kampung, hati saya bagai dirobek-robek apabila memandang nisan di atas pusara Ibu. Saya tidak dapat menahan air mata apabila terkenangkan semula peristiwa pada hari-hari terakhir saya bersamanya. Saya merasa amat bersalah dan tidak akan memaafkan diri ini. Benarlah kata orang, kalau hendak berbakti biarlah semasa Ibu dan bapa masih ada. Apabila sudah tiada, menangis air mata darah sekalipun tidak bererti lagi. Kepada pembaca yang masih ada ibu dan ayah, jagalah perasaan mereka. Kasihi mereka sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil dulu.
*****************
Kisah seorang teman, yang mungkin boleh dijadikan pedoman. Selamat menyambut Hari Ibu, semoga hari-hari berikutnya juga menjadi hari ibu.....Syurga di tapak kaki ibu.

Comments

indica said…
Terpaksa aku akui kisah ini telah membuat mataku pedih dan berair..ia sangat menyentuh. Bukan disebabkan "Teluk Intan".. tapi krn aku mmg pernah mengatakan kesibukan menjadi faktor penghalang untuk aku kerap balik kampong atau berjumpa beliau. Terima kasih kerana mengingatkan aku juga mereka lain yang mungkin terlena seketika.
McBudu said…
Aku kisahkan cerita itu sempena hari ibu yang bakal mendatang, semoga selepas hari ibu itu, hari hari selepasnya akan menjadi hari ibu. Alfatihah untuk ibuku yang tersayang yang telah meninggalkan aku, 1 April, 12 tahun yang lalu.
Pak Yob said…
kisah ni menginsafkan aku...(mata dah berair beb...)
tee said…
i'm off to my home town this weekend... and as usual mesti ada sup gear-box.. bestnyer...

Popular posts from this blog

Papan tanda dan maksudnya

Datuk Leslie Davidson, a Planter Extraordinaire

Corduroy ku