Berapa Harga Nyawa kita

Kalau kita peka dengan keadaan persekitaran dan sensitif akan perkara-perkara yang berlaku kebelakangan ini, kita pasti akan dapat mengagak berapakah harga nyawa kita. Harga nyawa kita pada hari ini seolah-olah ditentukan oleh kereta apa yang kita pakai, jawatan apa yang kita pegang, siapa kenalan kita dan berapa wang yang kita ada. Kalau anda memandu kereta mewah yang nilainya setengah juta, keluarga anda pula ada kenalan orang di kayangan, apabila melalui tapak pembinaan, tiba-tiba dengan tak semena-mena dihempap konkrit dan mati, media akan riuh rendah beberapa minggu dan perkara ini tiba-tiba menjadi isu nasional dan amat penting kepada masyarakat sehingga ianya dibawa ke mesyuarat kabinet!. Malah menteri yang berkaitan juga diminta bertanggungjawab di atas kejadian tersebut! Berapa nilai nyawa anda? Amat tinggi, tidak ternilai !
.
Tetapi senarionya berbeza jika anda hanyalah anda, memandu kereta murahan (atau bermotosikal), keluarga anda hanya kenal beberapa orang kampung yang juga macam anda, lalu di sisi tapak pembinaan, dihempap tiang konkrit dan mati. Kalau 'bernasib baik' adalah keluar surat khabar sehari, kemudian hilang berita..... berapa nilai nyawa anda?
.
Lebih malang lagi jika anda seorang pekerja kontrak yang saban hari berjuang dalam bahaya untuk memberi sesuap nasi kepada keluarga. Andalah wira yang bergadai nyawa saban hari untuk mencari rezeki, kalau anda mendapat kemalangan dan mati seperti yang terjadi ketika jejambat dalam pembinaan runtuh di NKVE, Kren runtuh di Puchong, Bangunan runtuh di Shah Alam dan beratus lagi kemalangan industri, anda rasa nyawa anda tinggi nilainya? Anda fikir kerana anda berjuang bergadai nyawa setiap hari akan menjadikan nyawa anda mahal harganya? Fikir semula, apa terjadi kepada arwah-arwah dan mendiang-mendiang yang terkorban ketika mencari sesuap nasi.... ada masuk surat khabar? Ada, tapi satu dua hari sahaja, dan beritanya lebih kepada lawatan VIP ketempat kejadian dan melawat mereka yang terselamat di hospital. Berita VIP bersetuju membiayai kos perubatan di hospital Klang ketika nahas di jejambat Lebuhraya NKVE menjadi berita utama, sedangkan nyawa yang melayang tidak menjadi topik penting. Berapa nilai nyawa anda? Tin aluminium, lebih berharga, akan dikutip, walaupun sudah dibuang!
.
Kekadang terfikir juga adalah lebih baik jika VIP yang terkorban dihempap jejambat runtuh, VIP yang mati dihempap kren runtuh dan VIP yang mati kelemasan akibat terhidu gas beracun di lubang IWK. Ini akan lebih berkesan untuk khalayak bertindak pantas memperbetul keadaan. Surat khabar pun akan lebih laris!
.
Namun begitu penilaian di atas hanyalah harga yang dinilai oleh kebanyakan jurunilai lupa diri zaman ini yang buta mata dan hati akibat kedudukan dan harta. Orang biasa, bangsat dan miskin tiada nilai nyawa, tiada nilai berita, tiada tarikan pembaca dan pendengar. Namun kepada kita, kepada ibu-bapa kita, anak-anak kita dan keluarga, selagi kita mencari nafkah di jalan yang halal dan sentiasa bersyukur kepadaNya, InsyaAllah nyawa kita amat tinggi nilainya, di sisi Jurunilai Maha Pengasih lagi Penyayang di atas sana!
.
Kepada semua saudara-saudaraku, tanpa mengira nilai dan harga nyawa, Selamat Hari Raya Idil Adha, pengorbanan bermula dari dalam diri.......

Comments

indica said…
Tindak tanduk manusia juga yg meyebabkan seolah nyawa seseorang manusia itu jauh lebih berharga dari manusia lain. Mengapa ini terjadi? agak membingungkan...

Tidakkah mereka sadari semuanya sama tak kira ia mangsa apa..tabrakan, jatuh bangunan, gempabumi, tsunami ke, ditimpa tandan sawit ke, stroke sbb minum teh tarik ke..semuanya sangat berharga. Mengapa perlu dibeda2kan? Hanya amal penentu segala.

Tapi ada juga empunya diri seolah lupa mrk punya nyawa.. terlibat dgn narkotik, rempit-rempitan mcm superman pun ada...mengapa? mengapa mrk suka bersidai nyawa..itu juga memusykilkan seolah meletakkan nilainya di tahap paling rendah.Mengapa ini semua terjadi?

Salam Aidiladha.

Popular posts from this blog

Papan tanda dan maksudnya

Datuk Leslie Davidson, a Planter Extraordinaire

Corduroy ku