KISAH LUQMAN AL-HAKIM DAN KELDAINYA.


Alkisah dalam satu riwayat menceritakan bagaimana pada suatu hari Luqman Hakim telah memasuki sebuah pasar dengan menaiki seekor Keldai, manakala anaknya pula mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, sesetengah orang yang berdiri di pinggir jalan pun berkata, 'Lihat orang tua itu yang tidak bertimbang rasa. Dia sedap-sedap duduk menaiki Keldainya sedangkan anaknya pula dibiarkan berjalan kaki."

Setelah mendengarkan kata-kata yang kurang sedap dari orang ramai maka Luqman pun turun dari Keldainya itu lalu diletakkan anaknya di atas Keldai itu dan kembali berjalan. Melihat yang demikian, maka sesetengah orang di pasar itu berkata pula, "Sungguh biadap budak itu. Orang tuanya dibiarkan berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki Keldai itu."

Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang Keldai itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian sesetengah orang ramai pula berkata lagi, "Lihat dua orang itu menunggang seekor Keldai, alangkah siksanya Keldai itu membawa beban yang berganda."

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari Keldai itu dan menyambungkan perjalanannya, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Ada Keldai tetapi tuannya berjalan kaki. Alangkah bodohnya!"

Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."

Comments

indica said…
Citer ni menjadi iktibar agar kita bijak menangani sesuatu perkara kerana tak semua orang berpuashati dgn tindaktanduk kita. Ataupun kita sekadar perlu tegas dan jgn cepat mengalah dengan orang yg hanya tau mengkritik tanpa memberi usul yang membina.
McBudu said…
Yang pasti ialah orang di keliling kita tidak akan berhenti mengata dan mengkritik kita, jangan mengalah, hanya kita yang berhak ke atas diri kita sendiri.

Popular posts from this blog

Papan tanda dan maksudnya

Datuk Leslie Davidson, a Planter Extraordinaire

Corduroy ku