Politik Koperat

Karierku bermula di sebuah syarikat peladangan swasta yang besar. Tekanan yang kurasakan ketika itu amat hebat. Namun semua tekanan adalah untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh majikan. Apabila aku mahir dengan sistem pekerjaan di situ, aku mula bosan kerana rutin yang aku lalui terlalu mudah buatku. Tiada cabaran. Aku cuba berniaga, tapi berbekalkan ilmu yang terhad, aku separuh gagal, serparuh lagi aku berjaya – berjaya merasa pengalaman kegagalan. Kemudian aku melangkah pula ke dunia baru – menyertai sebuah syarikat separa kerajaan milik Kerajaan Persekutuan. Terdapat diskriminasi yang amat menebal terhadap golongan muda yang banyak idea, macam aku. Semua idea aku tidak diterima, dan aku merasakan diriku tidak diperlukan di situ. Lantas aku berlalu pergi. (Kini syarikat itu ditimpa kerugian berpuluh juta akibat sikap pengurus-pengurusnya yang sukar menerima perubahan)

Aku melangkah ke alam koperat. Anak syarikat kerajaan sebuah negeri. Pada mulanya aku rasa beruntung dapat sama-sama mencorakkan syarikat dengan gaya pengurusan moden dan dinamik. Syarikat berjaya dikembangkan dan berjaya melaksanakan beberapa projek besar dan berprestij. Namun sepak terajang politik koperat amat menekan jiwaku. Mereka-mereka yang lain di dalam organisasi wujud dalam berbagai bentuk, perangai dan watak. Alam pekerjaanku yang satu ini banyak mengajar aku tentang sikap dan perangai manusia yang kepelbagaian.

Tak semena-mena mereka yang sepatutnya menjadi penaung, tiba-tiba menawarkan aku jawatan CEO syarikat dengan gaji besar berkereta besar serta memiliki kuasa mutlak, dengan syarat aku bersetuju menjatuhkan CEO aku yang selama ini bersama aku menjana keuntungan syarikat.

Aku terkejut setengah mati kerana sukar mempercayai kenyataan ini. Semua ini terjadi hanya kerana syarikat baharu sahaja mendapat projek bernilai RM40 juta, dan ada orang tertentu yang bercadang untuk mengaut keuntungan peribadi. Dengan menyingkirkan CEO, mereka mungkin mudah untuk mencapai matlamat menghalalkan cara. Kemungkinan besar aku akan dijadikan khadam mereka.

Namun aku ada prinsip hidup. Wang Ringgit bukan matlamat akhirku. Aku menolak dan menegaskan yang aku tak buat kerja hina sebegitu. Menginiaya sesama manusia bukanlah satu pilihan dalam hidupku. Aku bukanlah seorang yang kaya dan berada tetapi aku ada prinsip dan maruah diri, dan itu sahajalah yang aku ada. Kalau aku terima tawaran itu, apa lagi yang tinggal pada aku?

Hakikatnya bila aku menolak tawaran itu, aku mula mendapat tekanan. Aku mula dipulaukan. Kesetiaanku pada syarikat mula dipersoal. Jawatanku pula menjadi sasaran untuk diambil alih. Pada mulanya aku amat risau. Mana nak bayar hutang bank, mana nak belanja dapur dan mana nak bayar yuran sekolah anak-anak. Tetapi semakin lama, semakin aku bersemangat untuk berjuang menegakkan kebenaran yang aku telah mulakan. Aku amat yakin yang aku telah melakukan sesuatu yang bernilai kepada diriku. Aku tidak takut, jauh sekali menyesal. Aku akan tentang sesiapa yang ingin merampas hakku. Aku akan tetap bangga dengan diriku walaupun aku mungkin kecundang.

Kini, walaupun masih samar, aku telah mula nampak cahaya di hujung terowong. Aku yakin Allah akan tetap bersama dengan orang-orang yang benar. Satu pengajaran yang terbaik aku dapati ialah, jauhilah penginiayaan sesama manusia walau apapun alasannya dan berjuanglah untuk menegakkan kebenaran walau apapun risikonya. Hakikatnya aku boleh tidur lena di setiap malamku. Bolehkah mereka-mereka itu ?

Comments

indica said…
Kau telah memilih jalan yg mulia, menentang kebatilan menegak kebenaran. Semoga cahaya itu terus membawa sinar murni dalam hidupmu dan tidur-tidur malammu sentiasa lena. Syabas...dan teruskan bercerita utk jadi pengajaran bagi aku dan yg lain.

Popular posts from this blog

Papan tanda dan maksudnya

Datuk Leslie Davidson, a Planter Extraordinaire

Corduroy ku