Nilai Kasih Sayang

Hari ini dalam perjalanan aku dan isteri ke pejabat, dalam kesibukan lalulintas yang teramat sangat, kereta bersimpang siur, aku terlihat dua orang murid bertubuh kecil memakai seragam sekolah rendah cuba melintas jalan tiga lorong yang teramat sibuk. Seorang perempuan dan adiknya lelaki. Aku ternampak talileher budak lelaki itu mempunyai lencana seakan lencana yang anakku pakai. Aku tahu itu murid daripada sekolah yang sama. Aku amat yakin jika kanak-kanak itu cuba juga melintas jalan yang sibuk itu, nescaya mereka akan ditimpa kemalangan. Aku tidak dapat bayangkan jika tubuh-tubuh kecil itu digilis oleh kereta-kereta yang laju dan bersimpang siur. Aku juga hairan bagaimana mereka boleh berada di situ, sedangkan mereka sepatutnya berada di sekolah ketika itu.

Aku nekad membuat u-turn di persimpangan yang terdekat untuk mendapatkan mereka dan berdoa agar mereka masih belum melintas jalan. Sampai ditempat mereka berada aku dapati mereka masih menoleh ke kiri dan ke kanan untuk cuba melintas. Aku bersyukur mereka masih di situ dalam keadaan selamat. Aku memberhentikan kereta dan isteriku mendekati mereka. Si kakak bernama Natasha, 10 tahun dan adiknya Norman Danial, 7 tahun.

Cerita si kakak: “Kami ketinggalan bas yang kami tunggu sejak pukul 5 pagi di persimpangan jalan ke rumah kami. Kami terus menanti hingga pukul 7 pagi apabila ibu keluar kerja dan menemui kami masih di persimpangan jalan. Ibu yang bekerja di kilang yang jaraknya kira-kira 800 meter dari situ (tetapi terpaksa melintas jalan besar sebanyak 3 kali). Ibu menyuruh kami pulang sahaja ke rumah kerana telah lewat ke sekolah. Apabila tiba di rumah, ayah kami memaksa kami pergi juga ke sekolah dengan berjalan kaki ke tempat ibu bekerja dan kemudian suruh ibu hantarkan ke sekolah. Kami ini dalam perjalanan ke kilang tempat ibu bekerja!"

Aku tersentak kerana anak-anak yang sekecil ini disuruh pergi ke tempat kerja ibunya yang walaupun 800 meter sahaja tetapi terpaksa melintas jalan besar yang sibuk sebanyak 3 kali, tanpa ditemani oleh orang dewasa!.

Hampir menitis airmataku menatap wajah-wajah kecil yang sebentar tadi meyabung nyawa, hanya kerana ingin patuh perintah ayah mereka. Aku mempelawa mereka naik keretaku dan menghantar ke sekolah dan memaklumkan perkara ini kepada Penolong Kanan sekolah (kebetulan isteriku merupakan ahli Jawatankuasa PIBG).

Hari ini aku dan isteri lewat ke pejabat. Tapi hari ini hatiku amat tersentuh dan terharu mengenangkan nasib anak-anak yang terabai. Hari ini juga membuat aku semakin menghargai kasih sayang yang dicurahkan oleh arwah ibu bapaku semasa mereka masih hidup. Walaupun hidupku tidak pernah ditaburi dengan wang ringgit, namun mereka tidak pernah mendedahkan aku kepada bahaya, walaupun kepada seekor nyamuk!.

Untuk Natasya dan Danial aku doakan semoga panjang umur dan dilindungiNya dari segala mara bahaya.

Comments

indica said…
Begitu menyentuh. Hari ini anda telah melakukan satu perkara yg mulia. Teruskan. Semoga menjadi iktibar kepada insan-insan yang tidak pernah menghargai anugerah-anugerah kurniaanNya.

Popular posts from this blog

Papan tanda dan maksudnya

Datuk Leslie Davidson, a Planter Extraordinaire

Corduroy ku